Monday, August 31, 2009

sell my phone

Lagu Genjer-genjer punya kedudukannya dalam sejarah Indonesia. Ini pertama kali saya menemui lirik dan maknanya:http://www.youtube.com/watch?v=M8fA8s20zE4. Genjer-Genjer yang didendangkan oleh Bing Salamet: http://www.youtube.com/watch?v=Kt23kMYyrzo&feature=related

Tuesday, August 18, 2009

Wasiat Raja Melayu


Setelah Melaka alah oleh Portugis kerajaan Melayu yang terkuat muncul di Acheh. Acheh turut menakluk Perak, Pahang dan Johor. Apabila Acheh menakluk negeri-negeri raja-raja dan pembesar-pembesarnya di bawa ke Acheh. Ketika waris Sultan Melaka yang bersemanyam di Johor ditewaskan oleh Acheh sultan dan pemb esar-pembesarnya di bawa ke Acheh. Antara yang dibawa ke sana adalah bendahara Tun Muhammad yang lebih dikenali sebagai Tun Seri Lanang, pengarang Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. Kesultanan Melayu Acheh berada dikemuncaknya di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Ratu Elizabeth I mengirimkan perutusannya kepada Sultan Acheh melalui Sir James Lanceister. Acheh juga melakukan hubungan diplomatik dengan Turki dan Perancis.
Acheh juga mencipta revolusi pemikiran dan bahasa Melayu. Bahasa Melayu menjadi bahasa pengucapan seni dan falsafah melalui pemikir seperti Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri. Dari segi aspek agama, pemikiran falsafah dan kemajuan bahasa Melayu Acheh jauh mengatasi apa yang dicapai oleh Melaka.
Setelah menaklukki Pahang Sultan Iskandar Muda membawa putera sultan Pahang ke Acheh. Putera tersebut diberikan pendidikan di Acheh, dikahwin dengan puteri baginda dan dilatik sebagai pengganti yang dikenali sebagai Sultan Iskandar Thani.
Hamka dalam Dari Perbendaharaan Lama mencatitkan wasiat Sultan Iskandar Muda kepada penggantinya. Berikut adalah wasiat raja tersebut:


......., dan lagi Raja-raja hendaklah mengamalkan 8 perkara. Pertama, hendaklah selalu ingat akan Allah dan meneguhi janji dengan sekalian Wazir-wazir dan Menteri Hulubalang dan sekalian pegawai dan dengan sekalian rakyat. Kedua, janganlah Raja-raja menghinakan Alim-Ulama dan yang ahli akal bijaksana.
Ketiga, segala yang datang dari pihak musuh daripada seterunya jangan sekali-kali raja percaya. Keempat, hendaklah raja memperbanyak alat senjata dan membeli kesayangan rakyat dan wazir Sipahi (tentera), supaya jauhlah musuh raja, sebab ada yang menghalaukan dengan sayang.
Kelima, hendaklah raja menurun tangan, yakni murah. Hendaklah mengingat kesetiaan rakyat, wazir dan Alim-Ulama dan sekalian Sipahi dengan membalas jasanya masing-masing dengan tertib. Keenam, hendaklah raja menjalankan hukum dengan hukum Kitab Allah dan Sunnah Rasul. Iaitu seperti yang telah tetap di dalam Qanun Al-Asyi Darussalam; Pertama Al-Qur'an, Kedua Al-Hadis, ketiga Ijma', keempat Qias, maka....... keluar daripada itu pun empat perkara: Pertama hukum, kedua adat, ketiga qanun, keempat resam.
Ketujuh, janganlah raja-raja itu duduk dengan orang yang jahat budi dan jahil. Kedelapan, hendaklah raja-raja itu memeliharakan hati orang yang berbuat baik kepada raja dan kepada negeri dan kepada rakyat. Maka hendaklah raja memandang kepadanya serta memaniskan muka raja memandang mereka itu senantiasa senang hati, kerana ia banyak kebaktian kepada raja.
Hendaklah raja itu memeriksa sekalian wazir-wazir dan Hulubalang dan segala orang yang jahat dan durhaka dan tiada ia mengikut Qanun kerajaan. Dan tiap-tiap yang salah itu hendaklah dihukum dengan tertib menurut kesalahan dosa yang diperbuat, sesudah diperiksa dengan sehalus-halusnya, supaya jangan zalim menjatuhkan hukum.
Dan demikian lagi raja-raja hendaklah senantiasa ia memandang sekalian ulama dan bermesyuarat dengan Alim-Ulama dan mendengar nasihat ulama. Dan hendaklah raja-raja itu menjauhkan diri dari bersahabat dengan ulama jahat dan ulama jahil dan ulama tamak, iaitu ulama-ulama yang suka memuji-muji raja dan maghzul*kan dia dan mengharap minta keridhaan raja. maka ulama itu tamak, yakni tamak kepada dunia. Maka ulama itulah yang membikin huru-hara negeri dan yang memecah-belah rakyat, seperti dajjal...............
* Maghzul = kata-kata lucah-cabul tentang perempuan, yang diucapkan ketika senda gurau
Kutipan dari
"Qanun Asyih Darussalam"
(Peraturan Pemerintahan Acheh) di zaman Iskandar Muda Mahkota Alam (1606-1637)

Wednesday, April 22, 2009

Πολιτεία 1

Pagi tadi saya mula membaca Politeia, yang lebih dikenali dengan nama Republik, karya Plato di bawah bimbingan Dr. Paul Lettink, seorang sarjana klasik berasal dari Belanda. Kira-kira sepuluh tahun lalu saya mengambil tuisyen bahasa Yunani dengan beliau. Ia kemudian terhenti, tetapi saya meneruskan kajian bahasa tersebut secara sendiri. Saya terus membaca Homer dari pelbagai terjemahan Inggeris. Akhir-akhir ini perhatian saya tertumpu kepada dialog-dialog Plato. Penguasaan bahasa Yunani saya tidak cukup kuat untuk membaca Plato dalam bahasa asalnya. Maka saya membaca Plato dari pelbagai terjemahan Inggeris.

Semakin saya membaca Plato semakin kuat dorongan untuk menterjemahkannya ke bahasa Melayu. Tetapi saya tidak mahu membuat terjemahan dari terjemahan Inggeris. Saya ingin membuatnya terus dari bahasa Yunani. Plato bukan sekadar seorang filasuf besar. Beliau juga seorang penulis agong. Prosanya dalah prosa Yunani yang terbaik. Gaya dan laras bahasanya gemilang. Saya mahu berkongsi apa yang saya baca dengan peminat falsafah dan sastera. Maka saya menghubungi kembali Dr. Lettink untuk membaca Politeia di bawah bimbangan beliau.

Hari ini saya selesai membaca tiga ayat pertama. Begini terjemahannya. Ini adalah terjemahan pertama. Saya akan memperbaikinya dari masa ke masa. Dan saya juga akan membuat komentar untuk memperkenalkan tokoh-tokoh yang terlibat dalam dialog dan memberikan penjelasan tentang isu yang terlibat.

"Semalam saya (iaitu Sokrates) pergi ke Peiraia bersama Glaukonos putera Aristonos untuk menyembah kepada sang dewi, dan juga untuk menyaksikan pesta yang diperbuat untuk pertama kalinya. Persembahan orang tempatan memang cantik, namun pertunjukan yang dikirimkan oleh orang Trakes tidak kurang menarik. Setelah selesai kami bergerak untuk pulang ke bandar. Polemakus putera Kephalus apabila melihat dari jauh kami bersiap untuk pulang menyuruh abdinya berlari kepada kami meminta kami untuk menanti beliau."

Tuesday, February 10, 2009

Tun Perak Inggeris 1


Kesultanan Melaka roboh sebelum sempat mencipta tamadun. Dalam kegemilangan yang singkat itu menyerlah negarawan Tun Perak. Bendahara tentu tidak dapat mendekati kehebatan Perikles, negarawan empayar Athen sebelum tewas dalam perang Peloponnisian. Perikles mempunyai sejahrawan agong Thucydides yang memberitahu kita semua, dan manusia zaman berzaman, demokrasi terus dan populis Athen. Kalau tidak kerana cacatan Thucydides Abraham Lincoln tidak akan dapat membaca pidato Perikles dimajlis pengkebumian wira-wira Athen yang terkorban melawan Sparta. Dan pidato itulah yang mengilhamkan ucapan paling agong semua presiden, pidato Gettysburg yang ditujukan kepada syuhada kebebasan dan memberi nyawa baru demokrasi yang berkecai oleh perang saudara.
Namun kita masih boleh membandingkan keduanya. Kerana kalau Perikles mencipta Pax Hellenica, Tun Perak membangun Pax Malacca. Kedua-duanya adalah negarawan imperialis, mendukung tata hukum dan mencipta kemakmuran melalui perdangan bebas. Persamaan mungkin habis di situ. Di mana perbedaan bermula, dan keagongan Perikles menyerlah adalah bila negarawan Athen itu menjadi penaung kepada gerakan fikiran bebas, tokoh-tokoh sofis seperti Protagoras, demokrasi terus dan zaman baru sementara Tun Perak hanyalah anak zamannya dan seorang negarawan feudal.
Sekiranya Tun Perak menulis memoir diakhir hayatnya atau menulis surat kepada seorang pembesar lain untuk menyatakan renungannya terhadap penderhakaan Hang Jebat isi kandungannya mungkin seperti yang ditulis oleh Edmund Burke kepada Lord Charlemont pada 9 Ogos setelah mendengar berita pemberontak rakyat Perancis yang merobohkan penjara Bastille.

Saturday, February 07, 2009

Menyembah Mohon Derhaka 2


Ada tiga bentuk budaya politik Melayu berhubungan dengan kekuasaan. Yang pertama ditujukan oleh Hang Tuah, kesetiaan membuta tuli, menerima raja tidak melakukan kesalahan- rex non potest peccare-, kedua ditampilkan oleh Hang Jebat dengan ungkapan raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah, keadilan mesti ditegakan meskipun langit runtuh. Dan ditengah-tengah kedua kutub pendirian ini kita melihat sikap Tun Perak, orang yang tahu mana yang adil dan mana yang zalim dan untuk menegakan keadilan terdapat cara-cara yang berbeda dan pilihan tersebut menuntut kebijaksanaan.
Tun Perak adalah bendahara kesultanan Melaka yang teragung dan dibawah pemerintahanan Melaka menjadi sebuah empayar yang kaya dan makmur. Tun Perak adalah arkitek kepada pax Malacca satu keteraturan serantau, perdagangan bebas dan kehidupan sosial yang amat kosmopolitan. Di situ juga bermula sistem perundangan dan peraturan, dan tanpa system perundangan dan peraturan ini Melaka tidak boleh wujud sebagai empayar yang makmur dan pusat perdagangan Asia.
Suatu ketika dahulu satu generasi muda mengagung-agungkan penderhakaan Hang Jebat yang berakhir kepada porak peranda di Melaka. Jika kita ingin mengambil perbanding dengan dinamika pergelutan politik dan sosial dizaman Revolusi Perancis kita boleh mengolongkan Hang Jebat sebagai seorang Jacobin, golongan radikal dalam revolusi tersebut yang idealismenya dinodai oleh Reign of Terror yang mereka hasilkan.
Revolusi Perancis selain dari satu pemberontakan sosial dan politik untuk menggantikan rejim lama, Ancien Regime, juga satu revolusi yang didorong oleh idea-idea dari Pencerahan Eropah Benua. Dalam kemelut yang dihasilkan oleh revolusi tersebut berlaku satu perdebatan agong intelektual, antara Edmund Burke dengan Thomas Paine.
Edmund Burke adalah seorang reformis yang amat sedar dengan pemerintahan kuku besi sistem raja multlak. L’etat cest moi- Beta adalah Negara, kata raja Perancis Louis XIV. Maka apabila rakyat bangun menuntut perubahan dan keadilan Edmud Burke pada mulanya mengalu-alukan perkembangan di Perancis tersebut. Tetapi apabila beliau mula melihat revolusi itu telah menghasilkan kekacauan dan terdapat segolong elit England yang ingin memproposikan revolusi tersebut maka dia mengangkat pena dan menulis karya agong Reflections on the Revolution in France. Renungan itu disambut dan disanggah oleh Thomas Paine The Rights of Man yang juga satu karya besar.

Friday, February 06, 2009

Menyembah Mohon Derhaka 1

Nizar Jamaludin telah mencipta ungkapan yang akan menjadi klasik dan akan menjadi renungan. Ia bertali-tali dalam SMS, diulang sebut dalam Facebook dan lain-lain wahana. Apa yang berlaku adalah proses perundingan dan pentakrifan kolektif budaya politik Melayu.

Nizar dititah undur sebagai menteri besar dan menteri besar itu "menyembah mohon derhaka," satu ungkapan yang oxymoron kerana pantang Melayu menderhaka kepada raja. Derhaka dalam erti kata yang mudah adalah tidak patuh kepada raja. Dalam konteks sistem politik dimana sultan memiliki kuasa mutlak derhaka adalah satu perlanggaran yang berat.

Tetapi kita tidak hidup dizaman rex non potest peccare - raja tidak melakukan kesalahan, titah raja adalah hukum dan sentiasa benar. Tetapi kini raja diikat oleh perlembagaan. Nizar melakukan sesuatu yang terdapat dalam peruntukan perlembagaan, negeri Perak, perlembagaan yang sama mengikat Sultan Perak. Maka Nizar tidak derhaka. Tetapi Nizar bercakap dengan Sultan, maka laras bahasanya perlulah mengikut bahasa pertuturan rakyat bercakap dengan Sultan.

Namun betulkah pantang Melayu menderhaka kepada raja?Tun Perak melakukan tindakan yang menderhaka kerana tidak membunuh Hang Tuah seperti yang diarahkan oleh sultan. Hang Tuah difitnah melakukan hubungan sulit dengan salah seorang gundik raja dan bendahara tersebut tahu laksamana itu tidak bersalah dan beliau tahu yang salah adalah sultan yang menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa. Tindakan bendahara menyembunyikan Hang Tuah tidak diketahui sultan sehinggalah baginda memerlukan laksamana tersebut untuk menewaskan Hang Jebat. Sekiranya sultan tahu bendahara tidak melaksanakan hukuman mati tersebut sebelum Hang Jebat memberontak sudah pasti bendahara akan diistihar derhaka dan dihukum mati.

Tetapi tradisi persuratan Melayu tidak mencemoh Tun Perak sebagai derhaka. Bahkan beliau melihat keingkarannya kepada perintah sultan sebagai satu tindakan yang berani dan adil. Berani kerana melakukan sesuatu yang boleh menggadai nyawanya sendiri, dan adil kerana tidak bersekongkol dengan kesilapan dan kezaliman yang dilakukan oleh sultan. Tetapi Tun Perak hidup dizamannya dan dalam sistem zaman itu. Dia tidak boleh "menyembah mohon derhaka".

Thursday, February 05, 2009

Pyrrhic victory BN di Perak


Mari kita panjangkan renungan, jauh sehingga ke tahun 280 SM. Raja Pyrrhus dari Epirus menumpas tentera Romawi dalam dua pertempuran. Raja Pyrrhus amat gembira dengan kemenangan itu. Tetapi apabila dilaporkan begitu ramai tenteranya yang mati untuk mendapat kemenangan tersebut raja itu berkata: "Sekali lagi kita mendapat kemenangan seperti ini kita akan musnah."

Bedanya antara Raja Pyrrhus dengan Najib adalah, raja itu tahu bagaimana bahayanya kemenangnya, tetapi Najib melihatnya sebagai kemenangan besar Umno. Timbalan perdana menteri itu tidak pernah belajar dan tidak mahu belajar.

Penyokong-penyokong Pakatan Rakyat tentunya patah hati semalam, hari ini dan beberapa hari yang akan datang. Kepada mereka yang bersifat begitu belajarlah dari semangat tentera Romawi. Sebenarnya jumlah tentera Romawi lebih ramai yang gugur dari tentera Pyrrhus. Mereka tidak putus harapan. Sejahrawan Plutarch mengulas: "not at all abating in courage for the loss they sustained, but even from their very anger gaining new force and resolution to go on with the war...Romans lost more men than Pyrrhus did. However, the Romans had a much larger supply of men from which to draw soldiers, so their losses did less damage to their war effort than Pyrrhus's losses did to his."


Renung juga dialog antara Abu Sufyan dengan Herkules, gabenor Rom di Syria. Herkules menerima surat dari Nabi Muhammad s.a.w. Herkules memanggil Abu Sufyan untuk mendapat maklumat tentang agama yang gerakan yang dibawa oleh Rasulullah.


Herkules: Adakah pengikutnya dari kalangan orang kaya atau orang miskin.

Abu Sufyan: Orang miskin.

Herkules: Adakah pengikutnya bertambah atau berkurangan?

Abu Sufyan: Bertambah

Herkules: Bagaimana perang antara kamu dengan dia?

Abu Sufyan: Ada kala kami menang, ada kala dia.
Kita tidak akan menang dalam setiap pertempuran, tetapi insya Allah, kita akan dapat kemenangan keseluruhan. Rasulullah menang dalam perang Badar, tewas dalam perang Uhud, tidak menang dan tidak kalah dalam perang Khandak. Tetapi dalam kalah dan menang dalam pertempuran jumlah yang menyertai Islam terus bertambah. Pakatan Rakyat menang besar dalam PRU12, menang besar di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Semua kemenangan ini dengan dokongan rakyat.
Apakah BN menang di Perak? BN dapat sebuah negeri tetapi akan kehilangan lebih besar sokongan dari rakyat kerana taktik kotor yang dipakai -ugutan dan habuan. Kemenangannya adalah satu Pyrrhic victory, atau lebih kosong dari itu.
Rakyat mengajar BN pada 8 Mac yang lalu dengan menafikan majoriti 2/3 dan lima kerajaan negeri. Akuilah, sebahagian rakyat yang mengundi PR bukan kerana mereka percaya kepada PKR, DAP atau Pas. Mereka ingin mengajar Umno agar jangan sombong. Mereka berharap dengan tamparan tersebut mereka akan belajar dan melakukan perubahan. Apa yang berlaku di Perak jelas bahawa mereka tidak mahu belajar. Mereka hanya mahukan kuasa. Sedangkan rakyat mahu Umno-BN berubah dan kalau mereka berubah dan mengambil iktibar rakyat akan mengembalikan keyakinannya.
Sekarang jelas Umno tidak menerima keputusan rakyat dan tidak mahu belajar seperti yang dikehendaki oleh rakyat. Mereka hanya mahukan kuasa dengan apa cara sekalipun.
Apakah yang perlu dilakukan oleh PR di Perak? Sekarang mereka tidak lagi dibebankan dengan urusan pentadbiran mereka perlu sepenuh masa bersama rakyat. Kuasa muktamat adalah ditangan rakyat. Cek Umno hanya boleh membeli beberapa orang pemimpin dan ugutannya hanya boleh menakutkan pemimpin yang berjiwa kerdil.
Insya Allah, kemenangan itu hampir.